Logo
Registration

TERMA DAN SYARAT SEBAGAI PEMBEKAL PERKHIDMATAN FOTOVOLTA SURIA BERDAFTAR BAGI MEKANISMA DAN PROGRAM TENAGA BOLEH BAHARU DI BAWAH PIHAK BERKUASA PEMBANGUNAN TENAGA LESTARI MALAYSIA


A.   PERMOHONAN

  1. Mana-mana pemohon yang mendaftar sebagai pembekal perkhidmatan suria berdaftar (“RPVSP”) bagi mekanisma dan program Tenaga Boleh Baharu (“TBB”) di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (“SEDA Malaysia”) hendaklah mematuhi Terma dan Syarat Sebagai RPVSP bagi mekanisma dan program Tenaga Boleh Baharu (“TBB”) di bawah SEDA Malaysia (“Terma dan Syarat RPVSP”).
  2. Pemohon hendaklah memohon secara atas talian melalui portal SEDA Malaysia di laman sesawang www.seda.gov.my.
  3. SEDA Malaysia hanya akan memproses permohonan tersebut setelah semua maklumat dan dokumen sokongan yang lengkap telah dimuat naik dalam portal SEDA Malaysia. SEDA Malaysia akan mengadakan lawatan ke pejabat pemohon dan menemuduga pemohon bagi tujuan pengesahan, sekiranya perlu.
  4. SEDA Malaysia boleh meluluskan atau menolak permohonan mana-mana pemohon sebagai RPVSP dan keputusan yang dibuat oleh SEDA Malaysia adalah muktamad.
  5. Pemohon hendaklah—
    1. merupakan sebuah syarikat tempatan Sdn. Bhd. atau Berhad yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777] serta mempunyai alamat berdaftar dan alamat perniagaan di Malaysia;
    2. mempunyai modal berbayar minimum sebanyak Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu (RM100,000.00) untuk syarikat;
    3. mengemukakan Penyata Tahunan (Annual Return) terkini syarikat atau mempunyai baki minimum sebanyak RM100,000 dalam akaun bank selama tiga (3) bulan berturut-turut sebelum pendaftaran dibuat dengan SEDA Malaysia;
    4. berdaftar sebagai kontraktor elektrik (Peraturan 75-79 : Peraturan-peraturan Elektrik 1994, Suruhanjaya Tenaga). Sekiranya tidak berdaftar, pihak RPVSP hendaklah melantik kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk menjalankan kerja-kerja elektrik dan fotovolta suria.
    5. melantik mana-mana orang yang telah lulus Kursus Grid-Connected PV (GCPV) Systems Design yang dianjurkan oleh SEDA Malaysia sebagai pekerja tetap; dan
    6. melantik mana-mana orang yang mempunyai Sijil Pendawai Elektrik (sekurang-kurangnya PW2) dan telah lulus Kursus Grid-Connected PV (GCPV) Systems Wireman or Chargeman yang dianjurkan oleh SEDA Malaysia sebagai salah seorang yang terlibat dalam projek pepasangan fotovolta suria di bawah mana-mana mekanisma dan program Tenaga Boleh Baharu (“TBB”).
  6. Mana-mana pemohon yang telah diluluskan sebagai RPVSP hendaklah—
    1. mematuhi perenggan 5 Terma dan Syarat RPVSP sepanjang tempoh penyenaraian;
    2. bertanggungjawab ke atas semua projek pepasangan fotovolta suria di bawah mana-mana mekanisma dan program Tenaga Boleh Baharu (“TBB”) yang didaftarkan di atas nama syarikat RPVSP;
    3. memastikan deposit yang dikutip daripada mana-mana pelanggan domestik yang melantik RPVSP adalah tidak melebihi Ringgit Malaysia Satu Ribu (RM1,000.00) bagi projek pepasangan fotovolta suria di bawah mana-mana mekanisma dan program Tenaga Boleh Baharu (“TBB”) dan RPVSP hendaklah mengeluarkan resit atau bukti pembayaran kepada pelanggannya;
    4. mempunyai dasar keselamatan dan amalan kerja yang selamat bagi apa-apa kerja pemasangan pepasangan fotovolta suria termasuklah memastikan bahawa alam sekitar tidak terjejas dengan pemasangan tersebut;
    5. memastikan bahawa semua urusan berhubung dengan perniagaan dan pengendalian pelanggan dilakukan secara telus dan berintegriti demi kepentingan pelanggan;
    6. memastikan bahawa maklumat pelanggan tidak didedahkan kepada mana-mana pihak ketiga tanpa persetujuan daripada pelanggan tersebut;
    7. memastikan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh RPVSP adalah tidak mengelirukan atau memberi gambaran bahawa RPVSP tersebut merupakan wakil atau agen atau sekutu SEDA Malaysia atau Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkara yang berhubungan dengan pembekalan elektrik;
    8. RPVSP hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan terpakai di bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 [Akta 725] dan perundangan-perundangan subsidiarinya, garis panduan dan undang-undang lain yang berkaitan; dan
    9. RPVSP hendaklah memenuhi sasaran prestasi yang ditetapkan oleh SEDA Malaysia, sekiranya ada, dan menyumbang ke arah pembangunan program ‘Net-energy Metering’ (NEM) atau mana-mana program TBB yang berkaitan di bawah SEDA Malaysia.
  7. Bagi setiap permohonan yang diluluskan, RPVSP akan dikenakan fi pemprosesan sebanyak Ringgit Malaysia Tiga Ribu (RM3,000.00) sahaja. Penyenaraian hanya akan dibuat setelah fi pemprosesan dibayar kepada SEDA Malaysia.
  8. Tempoh penyenaraian RPVSP di SEDA Malaysia adalah sah sehingga 31 Disember bagi setiap tahun permohonan diluluskan sahaja.
  9. RPVSP boleh mengemaskini maklumat yang terkandung dalam direktori berkenaan tertakluk kepada kelulusan SEDA Malaysia. Fi pemprosesan sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ratus (RM200.00) sahaja akan dikenakan bagi setiap maklumat yang dikemas kini.
  10. RPVSP boleh menyenaraikan cawangan baharu dalam direktori tersebut tertakluk kepada kelulusan SEDA Malaysia. Fi pemprosesan sebanyak Ringgit Malaysia Tiga Ratus (RM300.00) sahaja akan dikenakan bagi setiap cawangan yang disenaraikan.
  11. SEDA Malaysia boleh menjalankan siasatan sekiranya SEDA Malaysia menerima sebarang aduan atau mendapati bahawa mana-mana RPVSP tidak mematuhi perenggan 6 Terma dan Syarat RPVSP. Pihak yang terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan tersebut.
  12. Berdasarkan hasil siasatan, sekiranya SEDA Malaysia mendapati berlakunya ketidakpatuhan kepada perenggan 6 Terma dan Syarat RPVSP, SEDA Malaysia boleh—
    1. memberi notis kepada RPVSP untuk membetulkan kemungkiran yang dilakukan dalam masa 14 hari dari tarikh pemberitahuan dibuat kepada RPVSP;
    2. sekiranya RPVSP gagal untuk membetulkan kemungkiran tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, SEDA Malaysia boleh menggantung RPVSP daripada penyenaraian dan apa-apa permohonan baharu pemasangan pepasangan PV untuk atau bagi pihak pelanggan bagi apa-apa mekanisma atau program TBB di bawah SEDA Malaysia selama satu (1) tahun; atau
    3. membatalkan penyenaraiannya dan tidak membenarkannya untuk memohon untuk menjadi RPVSP untuk suatu tempoh yang akan ditentukan oleh SEDA Malaysia.
  13. Keputusan SEDA Malaysia adalah muktamad dan mengikat pihak-pihak yang terlibat. SEDA Malaysia tidak akan bertanggungjawab terhadap apa jua kerugian, kerosakan dan prosiding perundangan yang berpunca daripada kegagalan atau ketidakpatuhan oleh RPVSP dalam mematuhi terma dan syarat ini.
  14. SEDA Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap ketepatan maklumat di dalam direktori atau penyenaraian tersebut. Maklumat yang terdapat di dalam direktori ini juga tidak boleh ditafsirkan bahawa SEDA Malaysia mengiktiraf dan mencadangkan perkhidmatan mana-mana RPVSP. RPVSP juga tidak boleh dianggap sebagai wakil atau agen atau sekutu SEDA Malaysia atau Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkara yang berhubungan dengan pembekalan elektrik.

SEDA Malaysia

Tarikh kemaskini: 09 Disember 2022

SEDA Malaysia - Registered PV Service Providers Directory